BAB 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN
Sosiologi
Auguste Comte
(1798 – 1857) telah memperkenalkan istilah sosiologi dalam bukunya Positive
Philosophy (1842). Sosiologi berasal daripada perkataan Latin “sosio” yang
bermaksud “berkongsi, dan juga berasal dari gabungan perkataan Yunani dan Rom
yang bermaksud “pengetahuan mengenai masyarakat”. Dari segi kajian
saintifiknya, sosiologi merupakan interaksi sosial dan organisasi (Zanden,
1996), masyarakat dari segi fungsi, bentuk organisasi sosial, & perkembangan
budaya (Jary & Jary, 1993), kehidupan sosial manusia, kumpulan, &
masyarakat (Giddens, 1993), dan fenomena sosial yang berfokuskan hubungan dan
interaksi antara manusia (Water, 1994).
Menurut Amir Hasan (2002) pula, sosiologi
adalah kajian yang sistematik dan saintifik mengenai manusia dan interaksi
sosial mereka dalam masyarakat daripada pelbagai sudut. Sosiologi diperkenalkan
bertujuan untuk mengetahui struktur asas masyarakat manusia, mengenal pasti
tekanan-tekanan utama yang melemahkan mereka dan mempelajari syarat-syarat yang
membentuk kehidupan sosial mereka. Terdapat beberapa tokoh-tokoh yang terlibat
dalam sosiologi iaitu Ibnu Khaldun (1332-1406), Auguste Comte (1798-1857), Karl
Marx (1818-1883), Emile Durkheim (1858-1917), Max Weber (1864-1920), dan George
Herbert Mead (1863-1931).
Disiplin sosiologi mempunyai
perspektifnya yang tersendiri tentang masyarakat dan tingkah laku sosial yang
tertumpu pada tingkah laku masyarakat, memahami corak interaksi dan proses
kelompok yang terbahagi kepada mikro dan makro. Mikro bersifat kecil dan
individu manakala makro bersifat besar, kompleks, dan berfokuskan
masyarakat/organisasi. Contoh bagi mikro ialah individu yang menagih dadah dan
kesan kesihatan fizikal dan mental ke atas individu manakala makro adalah seperti
kes jenayah dan penyakit berjangkit.
Teori utama sosiologi terbahagi
kepada tiga iaitu Teori Fungsionalisme (Konsesus), Teori Konflik dan Teori
Interaksionisme. Teori Fungsionalisme dipelopori oleh Auguste Comte (1798-1857)
yang memberi penekanan terhadap fungsi-fungsi pendidikan adalah untuk
kepentingan masyarakat dan juga terhadap pengaruh luaran ke atas pendidikan
(komuniti sekolah adalah penerima pasif apa yang ditentukan pihak luar) seperti
dari segi aspek kurikulum, pedagogi, disiplin murid, dan peperiksaan. Teori ini
tidak mengutamakan perkembangan individu.
Teori Konflik dipelopori
oleh Karl Marx (1818-1883) dan diikuti oleh Max Webber (1864 – 1920) yang
melihat masyarakat daripada perspektif konflik dan perubahan. Karl Marx
menyatakan bahawa konflik yang berlaku dalam masyarakat adalah disebabkan
faktor ekonomi seperti tanah, modal, industri, dan perdagangan yang merupakan
asas kepada pembentukan masyarakat. Menurut Max Webber pula, beliau menyatakan
bahawa idea-idea keagamaan sebagai punca konflik yang berlaku dalam masyarakat.
Teori Interaksionisme Simbolik telah
diperkenalkan oleh George Herbert Mead (1863-1931) yang melihat bagaimana
individu membentuk dan dibentuk oleh interaksinya dengan orang lain. Teori ini
melihat pendidikan dari sudut individu (mikro) yang melihat interaksi murid,
guru, dan pihak pentadbiran di sekolah. Di samping itu, teori ini menjelaskan
apa yang berlaku di sekolah tanpa mengaitkan dengan apa yang berlaku dalam
masyarakat.
Pendidikan
Menurut Amir Hasan
(2006), pendidikan merupakan proses pemindahan secara formal dan tidak formal
pengetahuan, kemahiran, dan nilai yang berlaku antara satu generasi ke satu
generasi yang lain atau dalam generasi yang sama. Sosiologi pendidikan
merupakan kajian yang sistematik dan saintifik mengenai hubungan antara
pendidikan dengan masyarakat, yang seterusnya mempengaruhi matlamat, bentuk
institusi, pentadbiran, kurikulum, dan kaedah pengajaran dan pembelajaran
(PdP).
Pendidikan sebagai proses
sosialisasi, iaitu bagaimana ahli masyarakat dan generasi muda diajar secara
formal atau tidak formal. Proses ‘pemilihan’ dalam pendidikan menentukan
kedudukan atau status seseorang dalam susun lapis sosio-ekonomi masyarakat.
Proses
pembudayaan pula adalah di mana ahli sesuatu masyarakat mempelajari dan
menerima kepercayaan, nilai-nilai, norma, cara mereka bertindak. Pelaburan
dalam pendidikan beerti membelanjakan wang, masa dan tenaga untuk mendapat
pendidikan dan latihan, manakala pendidikan sebagai ‘consumption’ ialah proses
dan hasil mencari ilmu pengetahuan untuk kepuasan rasa ingin tahu.
Dari segi proses membina warga
negara agar masyarakat mengetahui tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai
warganegara. Pendidikan dapat mengembangkan potensi diri dan membentuk sahsiah
diri murid kerana setiap indidvidu mempunyai bakat dan gaya pembelajarannya
yang tersendiri. Justeru itu, struktur masyarakat di Malaysia mempengaruhi
bentuk institusi pendidikan, pentadbiran pendidikan, kurikulum dan juga kaedah
PdP.
Comments
Post a Comment