BAB 12: PENGURUSAN PELBAGAI UPAYA


Pengurusan pelbagai upaya merupakan pengurusan yang khusus kepada pelajar yang berkeperluan khas. Program-program pendidikan menggunakan kaedah-kaedah khusus dan sesuai untuk memenuhi keperluan-keperluan perkembangan fizikal, intelek, emosi dan sosial individu-individu yang berkeperluan khas. Program pemulihan merupakan satu program pendidikan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran 3M yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus. Murid pemulihan merupakan murid yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif.
            Pemulihan mengutamakan prinsip ‘menyelesaikan masalah seawal mungkin’ supaya tidak kronik. Perbezaan minat, pengalaman, bakat dan gaya belajar mengakibatkan segolongan mereka lebih lambat menguasai sesuatu kemahiran berbanding rakan sebayanya. Keperluan-keperluan murid berpencapaian rendah dapat dikenal pasti dan dipenuhi melalui program pemulihan khusus. Ciri-ciri kanak-kanak pemulihan adalah mereka berasa rendah diri, pasif, mengganggu rakan, kerap tidak hadir ke sekolah, lemah pemahaman, malas serta cepat bosan dalam pembelajaran. Oleh itu, guru perlu menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang berlainan mengikut personaliti murid agar dapat membentuk personaliti baik dalam diri setiap orang murid.
            Pengayaan adalah aktiviti tambahan yang diberi kepada murid yang dapat menguasai satu-satu kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada itu. Murid-murid dapat meluaskan pengetahuan berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan unit pembelajaran secara mendatar. Pengayaan melibatkan murid-murid yang berpencapaian melebihi sederhana dalam penguasaan kemahiran asas. Pengayaan dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas di dalam atau luar kelas. Ia bercorak belajar sendiri dan bimbingan guru pada tahap minima. Pengayaan ini bertujuan untuk membolehkan murid menjalani aktiviti yang lebih mencabar kebolehan mereka disamping menambahkan minat dan pengalaman yang dapat membantu mereka ke arah perkembangan diri dan bakat mereka.
            Terdapat dua jenis pengayaan iaitu pengayaan mendatar dan pengayaan menegak. Pengayaan mendatar adalah aktiviti yang berdasarkan kepada kebolehan murid dalam sesuatu kumpulan. Kadar kesukaran aktiviti pengayaan adalah berlainan antara individu. Jenis aktiviti biasanya diberikan mengikut unit kemahiran yang diajar. Tujuan aktiviti ini adalah unutk mengukuhkan kemahiran yang dikuasai dan menimbulkan minat dalam aktiviti. Setiap kumpulan menjalankan aktiviti pengayaan menggunakan kemahiran yang sama. Pengayaan menegak pula aktiviti yang berdasarkan minat dan bakat murid dalam kumpulan cerdas sahaja. Kadar kesukaran aktiviti pengayaan bagi murid kumpulan cerdas yang sama. Jenis aktiviti biasanya terdiri daripada kertas projek, permainan dan rekreasi. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kegembiraan dalam aktiviti pembelajaran, mencungkil bakat dan kerjasama. Kumpulan cerdas menjalankan aktiviti pengayaan yang lebih mencabar manakala kumpulan sederhana dan lambat menjalankan aktiviti pengukuhan dan aktiviti pemulihan.
            Orang berkeperluan khas merupakan individu yang berbeza daripada masyarakat dan komuniti piawaian seperti sediakala. Perbezaan ini mungkin disebabkan oleh fizikal, deria, ciri-ciri kognitif atau tingkah laku yang ketara. Kebanyakan kanak-kanak ini mungkin memerlukan program pendidikan yang disesuaikan untuk keperluan mereka yang unik (Garciulo, 2003). Menurut Ross (1993), pelajar pintar cerdas didefinisikan sebagai pelajar yang dikenal pasti semasa pra sekolah, sekolah rendah atau sekolah menengah yang menunjukkan prestasi bakat yang cemerlang atau menunjukkan potensi untuk melakukan pencapaian di tahap yang sangat tinggi berbanding dengan rakan sebaya yang lain.
            Ciri-ciri pelajar pintar cerdas adalah mempunyai perbendaharaan kata yang lebih luas, mempunyai kematangan dari segi penggunaan istilah, mempunyai keistimewaan dalam matematik, mencari kesempurnaan kendiri, tidak mudah berpuas hati dengan jawapan yang mudah, dan petah berkomunikasi. Pendidikan pintar cerdas menggunakan kurikulum akademik yang diubahsuai kerana kurikulum sedia ada tidak sesuai dengan IQ yang tinggi. Pendidikan ini mengandungi proses berfikir secara kritis dan kreatif.
            Autisme bermaksud kecelaruan neurologikal otak sehingga menjejaskan fungsi otak dalam aspek-aspek kognitif, bahasa dan komunikasi, sosial dan emosi. Ciri-ciri Autisme ialah sukar berkomunikasi, mengelak untuk bertentang mata, emosi tidak seimbang, cederakan diri sendiri, sukar memahami orang lain dan seorang yang pasif. Pendidikan Autisme terdapat di sekolah kerajaan, swasta atau pemulihan dalam komuniti (PDK). Program yang dilaksanakan bersepadu dan terancang. Pendekatan yang dijalankan adalah dari segi tingkah laku pelajar dan menggunakan pendidikan inklusif.
            Disleksia merupakan keadaan di mana seseorang mengalami masalah membaca yang amat serius. Istilah lain yang digunakan untuk mengambarkan masalah ini ialah buta huruf. Ciri-ciri Disleksia adalah mempunyai Disparaxia (masalah koordinasi motor-mata-tangan), Diskalkulia (merujuk kepada masalah matematik), dan Disgrafia (merujuk kepada bahasa). Pendidikan Disleksia menggunakan pendekatan multi sensori merupakan pendekatan yang paling sesuai. Pendidikan ini menggabungkan beberapa deria seperti deria rasa atau sentuhan, penglihatan, pendengaran dan pergerakan. Deria-deria ini dijalankan serentak bagi memudahkan kaedah pengajaran terhadap pelajar disleksia.
            Menurut Dr. Howard (1983), kecerdasan bukanlah diwarisi melalui keturunan semata-mata tetapi ia juga dipengaruhi oleh faktor pemakanan, budaya, persekitaran, peluang pendidikan dan suasana pembelajaran. Beliau telah memperkenalkan 9 jenis kecerdasan pelbagai untuk mengukur tahap kecerdasan individu. Antaranya ialah kecerdasan Logik-Matematik yang mana pelajar mempunyai kelebihan dalam matematik. Golongan ini mempunyai pemikiran yang saintifik, pemikiran secara heuristik, induktif dan deduktif, membuat inferens, generalisasi, perhitungan dan pengujian hipotesis. Kemahiran dominan di bahagian otak kiri memungkinkan seseorang itu berfikir secara konseptual dan abstrak.   
            Seterusnya, kecerdasan Verbal-Linguistik. Golongan ini mempunyai kebolehan dalam menggunakan bahasa dan kata-kata dalam menyampaikan sesuatu sama ada melalui lisan atau penulisan. Golongan ini memahami bahasa yang kompleks selain lebih sensitif dan peka terhadap sesuatu perkataan. Selain itu, mahir dalam memanipulasikan ayat, tatabahasa atau struktur bahasa, fonologi iaitu unsur bunyi, semantik iaitu makna bahasa, pragmatik iaitu penggunaan bahasa, dan pengucapan awam. Kecerdasan Muzik adalah golongan yang mempunyai kebolehan dalam bidang muzik sama ada menggemari, mendiskriminasi, mengekspresi, mempersepsi, membeza, mengubah dan meluahkan perasaan melalui muzik. Golongan ini peka terhadap bunyi nonverbal iaitu bunyian daripada alam semulajadi seperti binatang, guruh dan angin. Kecerdasan muzikal ini mempunyai hubungan yang paralel dengan kecerdasan bahasa.
            Kecerdasan lain adalah kecerdasan Kinestetik Badan. Individu jenis ini mempunyai kelebihan dalam menggunakan badan mereka sama ada sebahagian atau keseluruhannya dalam berkomunikasi dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Di samping itu, mempunyai kebolehan dalam meluahkan idea atau perasaan melalui tubuh badan mereka dan bijak dalam mengimbangi pergerakan fizikal dan mental mereka. Seterusnya, kecerdasan Interpersonal. Golongan ini berkebolehan dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik dan mampu memahami dan membezakan perasaan, keinginan hati, hasrat dan tabiat orang lain. Mereka juga mudah bergaul dalam kelompok sosial dan mudah menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang ada.
            Manakala kecerdasan Intrapersonal adalah golongan yang mempunyai kebolehan dalam menilai diri sendiri dan mempunyai gambaran yang tepat tentang diri sendiri. Mereka berupaya dalam memperbaiki diri mereka kearah kehidupan yang lebih baik dan mampu menentukan hala tuju hidup mereka serta sangat berdisiplin dan mampu hidup berdikari. Golongan ini suka bersendirian dalam melakukan sesuatu perkara. Kecerdasan Ruang Visual adalah golongan yang memahami hubungan antara objek dengan ruang dan mampu mencipta imaginasi yang agak tinggi. Selain itu, peka terhadap warna, garisan, bentuk, corak dan ruang dalam kawasan persekitaran mereka. Mereka juga mampu berfikir diluar kotak malah berkeupayaan dalam membuat persepsi atau penilaian alam sekitar dengan tepat.
            Kecerdasan seterusnya adalah kecerdasan Naturalis yang mana golongan ini mempunyai kebolehan dalam mengenal pasti, mengkategori pola, corak atau bentuk yang ada pada alam sekeliling. Tambahan pula, golongan ini sangat sukakan alam sekeliling dan sangat selesa berada bersama alam terbuka. Mereka sangat sensitif terhadap isu-isu mengenai alam sekitar global, isu kemanusian dan isu sejagat serta meminati unsur kejadian alam. Kecerdasan yang terakhir adalah kecerdasan Eksistensialis. Individu jenis ini mempunyai persoalan-persoalan yang timbul tentang kehidupan realiti yang sering dilalui oleh golongan manusia. Golongan ini sangat gemar membaca buku-buku falsafah bagi menjawab setiap persoalan yang muncul dalam fikiran mereka dan cenderung untuk menelaah nilai-nilai yang berkembang dalam kehidupan masyarakat, sama ada nilai-nilai tradisional ataupun nilai-nilai moden yang berkembang pada masa kini.
            Oleh itu, pengajaran pada kelajuan yang sesuai, kerja kognitif yang berpatutan, standard prestasi yang realistik dan peluang sesuai diperlukan oleh pelajar-pelajar pelbagai upaya untuk mereka mencapai potensinya. Kanak-kanak pintar cerdas dan kanak-kanak normal tidak patut diasingkan kerana pengasingan sosial (social isolation) tidak boleh diwujudkan kepada mereka.







Comments

Popular posts from this blog

BAB 9: PENGURUSAN DISIPLIN

BAB 11: PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA

BAB 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN