BAB 8: STRATEGI PENGURUSAN BILIK PEMBELAJARAN
Menurut
Guey R.Lefroncis (1999) pengurusan bilik pembelajaran ialah sesuatu konsep yang
komprehensif untuk pelbagai aktiviti guru yang dirancang dengan tujuan
memudahkan cara Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah,
merangkumi, tindakan disiplin, rutin harian, penyusunan tempat duduk dan
memperuntukkan masa pelajaran. Strategi membawa maksud pelbagai cara untuk
mencapai tujuan. Secara khususnya bilik darjah merujuk kepada sebuah bilik
tempat berlakunya proses PdP di sekolah. Bilik darjah mempunyai perabot seperti
kerusi meja (guru dan pelajar), almari, papan kenyataan, dan papan hitam/putih.
Bagi mata pelajaran tertentu, perabot dan alatan disediakan bersesuaian dengan
mata pelajaran berkenaan.
Jenis-jenis bilik pembelajaran
adalah bilik darjah tradisi, bilik darjah terbuka, bilik darjah bercantum,
bilik darjah pra sekolah, bilik darjah Pembelajaran Abad ke 21, bilik darjah
multimedia, dan bilik darjah mata pelajaran khas. Bilik darjah tradisi adalah di mana kerusi dan meja disusun baris
demi baris. Ia sesuai untuk aktiviti PdP berbentuk seluruh kelas dan berpusatkan
guru. Murid-murid yang mempunyai tubuh badan kecil/kurang aktif/ pendengaran
yang kurang, biasanya ditempatkan di barisan hadapan. Aktiviti melibatkan murid
dalam proses PdP jarang digunakan menyebabkan murid pasif semasa mendengar
pengajaran guru. Dalam bilik darjah
terbuka, aktiviti PdP biasanya dijalankan secara berkumpulan/individu di
beberapa tempat di bilik darjah secara serentak. Tiada kurikulum ditetapkan dan
kebebasan diberikan kepada murid untuk memilih, merancang, dan melaksanakan aktiviti
pembelajaran diminati. Ujian, peperiksaan, dan pemberian markah tidak
diutamakan, malah dikurangkan kepada peringkat minimum. Murid-murid juga bebas
untuk memilih kumpulan atau melaksanakan projek secara individu.
Seterusnya bilik darjah bercantum merangkumi umur murid-murid berlainan mengikut
tahun persekolahan mereka. Bilangan murid dalam satu tahun persekolahan tidak
melebihi 14 orang. Semasa guru mengajar murid dalam satu tahun persekolahan,
murid-murid dari tahun persekolahan yang lain akan ditinggalkan untuk
menjalankan aktiviti pembelajaran sendiri. Biasanya melibatkan sekolah-sekolah
di kawasan terpencil/pedalaman dengan bilangan penduduk yang tidak ramai. Bilik darjah Prasekolah adalah untuk kanak-kanak
dalam lingkungan 4-6 tahun. Ia merupakan tempat melatih kanak-kanak dalam pendidikan
asas secara informal. Kebanyakan aktiviti pembelajaraan melibatkan permainan. Dinding
dihiasi dengan gambar/carta/kad berwarna warni. Bilik darjah Multimedia dilengkapi dengan komputer untuk aktiviti
PdP. Pelajar digalakkan memperoleh maklumat melalui internet. Strategi PdP
adalah berpusatkan pelajar dan bahan. Guru berperanan sebagai fasilitator.
Selain itu, interaksi pelajar dengan komputer adalah lebih banyak daripada
interaksi sosial.
Manakala bilik darjah Mata pelajaran Khas adalah tempat untuk menjalankan
aktiviti seperti amali/projek tertentu. Bilik darjah dilengkapi dengan alatan yang
diperlukan untuk menjalankan aktiviti amali/projek. Meja-kerusi disusun
mengikut kumpulan. Contoh bilik darjah Mata pelajaran Khas adalah seperti bilik
darjah, makmal Sains, makmal ICT/Multimedia, bilik PSV, gimnasium, bengkel
kemahiran (KHB, RBT, MPV), bilik muzik dan juga padang. Organisasi
pengurusannya termasuklah pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc), pengurusan dan
penyelenggaraan, pengurusan stok, keselamatan serta kebersihan dan keceriaan.
Saiz bilik darjah penting kerana ia
menjamin keselesaan murid. Ukuran bilik darjah untuk 40 orang murid adalah = 7m
x 9 m. Bilik darjah perlu mempunyai ruang yang cukup untuk bergerak dan
menjalankan aktiviti. Susunan bilik darjah mempengaruhi faktor psikososial murid
dan gaya pengajaran guru. Kemudahan haruslah disediakan kepada murid untuk
menjalankan aktiviti pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti kumpulan. Peralatan
yang perlu disediakan adalah kerusi dan meja murid (mesti sesuai dengan keadaan
fizikal murid), kerusi dan meja guru, papan hitam/putih, papan kenyataan
(Jadual waktu, jadual bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan, sudut mata
pelajaran, sudut bacaan dan rujukan), rak buku serta bahan pengajaran dan
pembelajaran.
Selain itu, bilik darjah perlu mempunyai
tingkap dan pintu yang mencukupi. Tingkap dan pintu dibuka untuk membolehkan
udara masuk. Bilik darjah yang gelap dan tidak cukup terang akan menjejaskan
penglihatan murid. Situasi ini menyebabkan murid mudah berasa letih dan
mengantuk. Dari segi keselamatan adalah bilik pembelajaran perlu mempunyai ruang
kerja selesa, ruang kerja bersih dan selamat, cahaya dan pengudaraan yang
cukup, tempat pengendalian enjin dengan pengudaraan yang cukup, sudut pameran/hasil
kerja murid, stor untuk menyimpan alatan dan bahan serta papan tanda “LARANGAN”
“BAHAYA” yang jelas untuk kawasan mesin. Ciri-ciri bilik pembelajaran abad
ke-21 adalah kerusi dan meja disusun mengikut kumpulan. Murid-murid dibahagikan
kepada beberapa bentuk kumpulan mengikut tahap kebolehan. Interaksi antara
guru-murid dan murid-murid digalakkan. Selain itu, aktiviti murid dapat dilaksanakan
dalam keadaan aktif dan murid dibenarkan bergerak dan berbincang dengan guru
atau rakan-rakan.
Comments
Post a Comment